Wednesday, 25 June 2014

Panduan pada hari majlis perkahwinan anda

Setelah segala persiapan telah tersedia, kini tibalah hari majlis perkahwinan anda. Pada hari inilah segala yang dirancang sebelumnya perlu dilaksanakan dan dipastikan berjalan lancar. Sudah semestinya anda sebagai pengantin tidak perlu melakukan semua tugas dan kerja, sebaliknya agih-agihkan kepada petugas-petugas yang telah anda lantik sebelum ini. Letakkan kepercayaan kepada mereka dalam mengendalikan majlis perkahwinan anda. Anda hanya perlu bertenang dan banyakkan memberi senyuman. Sepanjang majlis perkahwinan, anda mungkin akan melalui perkara-perkara yang berikut:


Di awal hari majlis perkahwinan
 
Sila bangun awal pagi. Hari ini adalah hari penting anda. Tunaikan solat dan mandi sunat supaya badan anda segar. Wangikan badan dengan aroma yang sesuai. Ini akan membantu 'mood' dan perasaan anda untuk menghadapi hari istimewa ini. Jangan abaikan sarapan pagi, bimbang nanti anda tidak selesa kerana perut memulas kelaparan. Periksa baju pengantin dan aksesori yang akan dipakai nanti, pastikan semua tersedia dan dalam keadaan baik. Bersolek dan tukar pakaian anda. Jika ada kesempatan, boleh bergambar secara solo atau dengan pasangan anda. Boleh juga jika ada saudara-mara yang ingin mencelah.

Semasa majlis akad nikah
 
Duduk dalam keadaan tenang dan selesa. Banyakkan berdoa dalam hati agar majlis berjalan lancar. Biasanya majlis akad nikah akan dimulakan dengan bacaan khutbah nikah oleh kadi. Dengar dengan teliti, jangan sampai tertidur! Untuk pengantin lelaki, usai akad nikah, bersalam-salaman dulu dengan kadi dan orang-orang di sekeliling anda sebelum menunaikan solat sunat syukur. Kemudian, berjumpa dengan pasangan untuk upacara membatalkan air sembahyang. Sarungkan cincin dan serahkan mas kahwin. Pengantin lelaki mungkin akan dipaksa mencium dahi pasangan, jadi pastikan anda boleh melakukannya dengan baik. Kemudian, bersalam-salamanlah dengan semua orang sebelum berarak ke tempat majlis perkahwinan.

Semasa majlis perkahwinan
 
Pastikan anda mengikuti segala acara yang telah dirancangkan. Layan tetamu yang datang dengan baik. Pastikan anda dan pasangan mengekalkan wajah yang berseri-seri sepanjang majlis walaupun kepenatan. Jangan hanya duduk di atas pelamin. Sebaliknya, turun dan beramah-mesra dengan tetamu. Ucapkan terima kasih atas kesudian menghadiri majlis perkahwinan anda. Bergaullah dengan seramai mungkin tetamu, jangan hanya menumpukan kepada rakan terdekat sahaja. Jika ada permintaan, jangan malu-malu untuk mengambil gambar bersama-sama tetamu.

Di akhir hari majlis perkahwinan
 
Majlis perkahwinan anda selesai juga akhirnya. Kini, anda bersama-sama dengan pasangan anda. Tunjukkan kasih sayang anda padanya, ambil berat akan semua keperluannya. Temani suami atau isteri anda untuk bergaul dan beramah-mesra dengan ahli keluarga anda. Pakailah pakaian yang sesuai. Gembirakan semua orang yang telah membantu untuk majlis perkahwinan anda. 
 
Selamat pengantin baru dari SteLLaR!!

No comments:

Post a Comment